Selasa, 3 Disember 2019 | 7:47am
Pengawal Kebangsaan Mexico mengawal lokasi kejadian pertempuran berdarah antara polis dan kartel dadah, di perbandaran Villa Union, Coahuila, Mexico. - Foto REUTERS

Mexico buru pemimpin kartel dadah susulan pertempuran maut

VILLA UNION: Pasukan tentera Mexico memburu komando kartel dadah yang mendalangi pertempuran berdarah di pekan berhampiran sempadan Amerika Syarikat yang meragut 22 nyawa termasuk 16 penyerang.

Kejadian itu sekali gus memberikan aib besar kepada Presiden Andres Manuel Lopez Obrador.

Sekurang-kurangnya 60 lelaki bersenjata menyerang bandar raya kecil Villa Union di utara Mexico hujung minggu lalu, menyerbu pekan berkenaan dengan kenderaan pacuan empat roda dilengkapi senjata berat dan menembak puluhan rumah sebelum menyerang dewan bandar raya, menjadikan tujuh orang sebagai tebusan, termasuk lima kanak-kanak.

Pegawai bertindak balas dengan menghantar tentera, Pengawal Negara dan polis, mencetuskan siri berbalas tembakan pada Sabtu dan kelmarin, menyebabkan 22 terbunuh: dua kakitangan bandar raya, empat anggota polis dan 16 penyerang, menurut pihak berkuasa di negeri Coahuila.

Kesan tembakan pada cermin kenderaan dalam pertempuran berdarah di luar Presidens Perbandaran di Villa Union, Coahuila, Mexico

Saksi berkata, penyerang membawa tanda Kartel Timur Laut, serpihan pertubuhan ganas Zetas, kartel dadah diasaskan komando tentera rasuah di negeri Tamaulipas pada 2010.

Pihak berkuasa menangkap dua lelaki, yang memberitahu penyiasat matlamat kartel adalah untuk menyerang Villa Union dalam usaha mengancam kerajaan negeri, menurut Gabenor Miguel Angel Riquelme.

Riquelme memuji keberanian sekumpulan 15 anggota polis yang bertindak balas kepada serangan awal, yang dikatakan beliau berjaya mengepung penyerang walaupun bilangan mereka sedikit.

“Dalam masa sejam setengah, kita berjaya mengepung penjenayah,” katanya kepada rangkaian radio Formula. — AFP

Berita Harian X