Ahad, 1 Disember 2019 | 7:10pm

Insiden tembak: 14 termasuk 4 pegawai polis maut

MEXICO CITY: Seramai 14 orang, termasuk empat pegawai polis maut dalam satu kejadian tembak membabitkan pihak berkuasa dan sekumpulan penyeludup dadah, kata sumber kerajaan.

Konfrontasi itu tercetus sejurus sebelum waktu tengah hari di Villa Union, di utara negeri Coahuila apabila pihak berkuasa mengesan kejadian beberapa kenderaan dan penumpang yang lengkap bersenjata, kira-kira 60 kilometer daripada sempadan Amerika Syarikat (AS).

Gabenor Coahuila, Miguel Angel Riquelme memberitahu, mayat empat pegawai polis, tujuh disyaki penjenayah dan tiga individu tidak dikenali ditemui terdampar di jalan berhampiran, selepas kejadian.

Menurut Riquelme, insiden berkenaan turut mencederakan enam pegawai, namun keadaan mereka dilaporkan tidak serius dan sudah dibenarkan keluar daripada hospital.

Sumber kerajaan memaklumkan, sejumlah individu termasuk kanak-kanak pula gagal dikesan.

Pihak berkuasa berkata, mereka merampas 12 buah trak, selain senjata berat dan sejumlah besar peluru.

Serangan itu berlaku selepas pemimpin Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador memberi amaran, beliau tidak akan membenarkan AS melaksanakan operasi bersenjata merentasi sempadan terhadap sindiket dadah negaranya.

Ia susulan kenyataan dibuat Presiden AS, Donald Trump bahawa beliau merancang untuk menyenaraikan sindiket dadah Mexico sebagai pertubuhan pengganas. - AFP

Berita Harian X