Khamis, 7 November 2019 | 7:43am
Jonathan Salazar (kiri) dan Samuel Fonseca berjaya ditahan di sempadan Mexico-Amerika Syarikat selepas melarikan diri dari penjara California. Foto EPA

Dua suspek kes bunuh ditahan di Mexico

CHICAGO: Dua suspek kes pembunuhan berjaya diberkas di sempadan Amerika Syarikat-Mexico, iaitu tiga hari selepas berjaya melarikan diri dari penjara di California, yang terletak ratusan kilometer di utara negara itu.

Jurucakap Pejabat Sherif Daerah Monterey, John Thornburg dalam satu taklimat media berkata, Santos Fonseca, 21, dan Jonathan Salazar, 20, ditahan ejen perlindungan kastam dan sempadan Amerika Syarikat.

Jabatan sherif berkata, Fonseca dan Salazar berjaya melarikan diri dari kemudahan tahanan dewasa daerah Monterey di Salinas, pada pagi Ahad lalu, yang terletak kira-kira 160 kilometer di tenggara San Francisco, atau 725 kilometer di utara, dari lokasi mereka diberkas semula.

Thornburg berkata, jabatannya sudah memaklumkan beberapa ejen di sempadan supaya mengesan kedua-dua suspek itu, selepas menerima maklumat mengenai kehadiran mereka di kawasan terbabit.

Namun, tidak diketahui bagaimanapun kedua-dua suspek itu boleh tiba di Tijuana yang terletak di selatan San Diego dan mengapa mereka cuba untuk masuk semula ke Amerika Syarikat.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, banduan menebuk luba di siling kemudahan penjara di Salinas, sebelum memanjat keluar dari bangunan terbabit, lalu melarikan diri. - Reuters

Berita Harian X