Sabtu, 2 November 2019 | 9:58am
Penduduk menyeberangi penghalang yang dibina penunjuk perasaan di Port-au-Prince. Foto AFP

PBB dedah 42 maut dalam keganasan di Haiti

PORT-AU-PRINCE: Sekurang-kurangnya 42 maut, manakala puluhan lagi cedera dalam bantahan anti kerajaan di Haiti yang berlangsung sejak pertengahan September lalu.

Agensi hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendedahkan angka kematian berkenaan, turut menyatakan kebimbangan mereka mengenai krisis terbabit.

Tunjuk perasaan sudah berlarutan selama dua bulan di negara itu, yang dicetuskan oleh masalah bekalan minyak, hingga mendorong bantahan yang bertukar ganas terhadap Presiden Jovenel Moise.

“Kami amat mengambil berat mengenai krisis di Haiti dan kesannya kerana ia menjejaskan hak rakyat untuk memperoleh kemudahan kesihatan, makanan, pendidikan dan keperluan lain,” kata pejabat Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) dalam satu kenyataan.

OHCHR berkata, laporan menunjukkan pasukan keselamatan bertanggungjawab terhadap 19 kes kematian terbabit, manakala bakinya terbunuh selepas diserang beberapa individu bersenjata atau penyerang tidak dikenali.

Menurut jurucakap OHCHR, Marta Hurtado, kira-kira 86 orang dilaporkan cedera sejak keganasan tercetus pada 15 September lalu, dan majoritinya adalah mangsa tembakan.

“Sekurang-kurangnya seorang wartawan maut, sementara sembilan lain cedera,” kata PBB, sekali gus meminta semua pihak supaya menghormati hak kebebasan media. - AFP

Berita Harian X