Ahad, 27 Oktober 2019 | 12:59pm
Sehelai baju panas digunakan Kurt Cobain dalam persembahan ‘unplugged’ Nirvana pada 1993 dilelong dengan harga AS334,000 (RM1.3 juta). - Foto AFP

Baju panas Kurt Cobain dilelong RM1.3 juta

NEW YORK : Suku abad selepas bintang ‘grunge’ terkenal, Kurt Cobain menamatkan riwayatnya, sehelai baju panas digunakan penyanyi itu dalam persembahan ‘unplugged’ Nirvana pada 1993 dilelong dengan harga AS$334,000 (RM1.3 juta).

Baju panas lusuh berwarna hijau zaitun itu memiliki kesan hitam dan berlubang akibat api rokok, malah tidak pernah dibasuh sejak digunakan mendiang.

Penjual, Garret Kletjian iaitu pemilik Forty7 Motorsports membelinya empat tahun lalu pada harga AS$137,500 (RM575,580).

“Baju panas ini adalah yang paling istimewa dalam semua pakaian pernah digunakan mendiang.

“Kurt mencipta imej ‘grunge’, beliau tidak menggunakan pakaian khas persembahan, kata presiden Julien’s Auction, Darren Julien.

Rumah lelongan itu menjangkakan baju panas berkenaan mampu dijual antara AS$200,000 (RM837,207) dan AS$300,000 (RM1.2 juta).

Rangkaian kabel muzik MTV memulakan siri ‘Unplugged’ mereka pada 1989 iaitu rakaman persembahan secara langsung, membabitkan penggunaan alat muzik secara akustik.

Persembahan ‘unplugged’ Cobain yang menjadi igauan ramai bersama Nirvana, dirakamkan kurang daripada enam bulan sebelum beliau membunuh diri ketika berusia 27 tahun, dan dianggap pertunjukan paling ikonik pernah dihasilkan.

Sarat dengan emosi, penyanyi berbakat besar yang turut bergelut dengan masalah penggunaan dadah dan memiliki sepasang mata biru itu dilaporkan merungut kepada pengurus, Amy Finnerty bahawa penonton tidak menyukai persembahan terbabit.

Gitar jenama Fender Mustang, khusus untuk pemuzik kidal yang digunakan mendiang semasa siri jelajah ‘In Utero’ pula dijual pada harga AS$340,000 (RM1.4 juta). - AFP

Berita Harian X