Selasa, 17 September 2019 | 9:56pm
Enoch Zarceno-Turner. - Foto ihsan Shelby County Sheriff's Department

Tuntut nafkah anak, ibu dan bayi lelaki maut ditikam

MEMPHIS : Seorang ibu dan bayi lelakinya yang berusia empat bulan maut ditikam, sebelum rumah mereka di Shelby County dibakar.

Heather Cook, 32, dan bayinya, Bentley ditemui mati di dalam rumah mereka pagi Jumaat lalu.

Enoch Zarceno-Turner, 25 dituduh membunuh kedua-dua mangsa bersama tuduhan lain termasuk melakukan kebakaran dan penderaan kanak-kanak.

Apabila pasukan bomba tiba di lokasi, mereka menemui pasangan ibu dan anak itu sudah mati ditikam manakala kawasan tempat mereka ditemui sedang terbakar.

Suspek, Zarceno-Turner adalah bapa kepada Bentley dan pasangan terbabit sebelum ini sering bergaduh mengenai hak penjagaan anak berikutan kegagalannya menjelaskan wang saraan anak.

Hanya dua minggu sebelum maut dibunuh, Cook sempat meluahkan perasaan di laman ibu tunggal yang terdapat pada Facebook, berhubung masalah dihadapinya.

“Apabila saya hamil, ia adalah disebabkan seorang lelaki yang baru saya kenali. Apabila saya memberitahu beliau kehamilan ini, saya disuruh membetulkan keadaan. Anak saya dilahirkan 4 1/2 bulan lalu dan bapanya tidak pernah berusaha untuk bertemu dengan anak kami.

“Dia tidak pernah mahu membantu sedangkan dia bertanggungjawab membuat saya hamil. Padanya, tawaran yang diberikan satu ketika dahulu untuk menggugurkan kandungan ini adalah satu bentuk bantuan dan saya tidak berhak meminta apa-apa lagi,” katanya.

Cook pernah memfailkan tindakan untuk bantuan sara hidup anak dan suspek terpaksa menjalani ujian DNA. - Agensi

Berita Harian X