Khamis, 12 September 2019 | 1:06pm
Orang ramai menunggu giliran bagi membolehkan dokumen mereka diperiksa oleh kakitangan lapangan terbang sebelum dibenarkan berlepas ke Amerika Syarikat di lapangan terbang di Freeport, pulau Grand Bahama, Bahamas. Foto AFP

2,500 penduduk masih hilang di Bahamas

NASSAU: Kira-kira 2,500 penduduk dilaporkan masih hilang di Bahamas selepas ia dilanda taufan Dorian, namun pihak berkuasa sedang berusaha mengesan mereka.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NEMA), Carl Smith, berkata pihaknya yakin mangsa yang hilang akan ditemui semula.

“Pada peringkat ini, ada kira-kira 2,500 individu yang didaftarkan dengan Kerajaan Bahamas sebagai masih hilang.

“Senarai ini masih belum dikemas kini atau dirujuk dengan rekod penduduk yang tinggal di pusat perlindungan atau yang sudah dipindahkan.

“Terdapat juga penduduk yang berpindah dari Abaco dan Grand Bahama, masih belum berdaftar dengan perkhidmatan sosial.

“Memandangkan kami boleh merujuk dengan beberapa set data yang ada, kami boleh memaklumkan ahli keluarga dan menyatukan semula mereka dengan orang tersayang,” kata Smith.

Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memetik laporan rasmi, melaporkan kira-kira 76,000 penduduk dipercayai terjejas akibat taufan Dorian.

Daripada jumlah itu, ribuan lagi sudah dipindahkan dan kira-kira 860 penduduk ditempatkan di pusat perlindungan sementara, di sini.

Sekurang-kurangnya 50 maut dalam kejadian taufan, yang melanda utara Bahamas sebagai ribut kategori lima dan pihak berkuasa meramalkan jumlah mangsa akan meningkat.

“Kami enggan membuat spekulasi mengenai jumlah mangsa ribut.

“Kami sedar orang ramai amat mengambil berat mengenai perkara ini, dan kami juga,” katanya. - AFP

544 dibaca
Berita Harian X