Khamis, 12 September 2019 | 12:22pm
Anggota penyelamat membawa mayat mangsa bot karam di Santa Barbara, California, Amerika Syarikat. Foto Reuters

Bateri litium disyaki punca bot terbakar di Santa Barbara

LOS ANGELES: Pasukan penyelam berjaya menemui mangsa terakhir insiden bot terbakar yang mengorbankan 34 mangsa, selepas usaha mengeluarkan mayat tertangguh akibat keadaan cuaca buruk yang menyukarkan operasi pihak berkuasa.

Pada masa sama, Pengawal Pantai Amerika Syarikat dalam buletin keselamatan yang diterbitkan baru-baru ini, mengeluarkan artikel mengenai laluan keselamatan, latihan anak kapal dan pengecasan bateri litium-ion.

Dalam kejadian pada 2 September lalu, kapal Conception sepanjang 23 meter itu karam selepas terbakar ketika berada di perairan berhampiran Pulau Santa Cruz.

Namun, lima anak kapal berjaya diselamatkan dalam insiden yang berlaku pada jam 3.15 pagi (waktu tempatan) itu.

“Pusat arahan bersepadu insiden Conception ingin melaporkan bahawa usaha mencari dan menyelamat yang dijalankan hari ini, berjaya mengesan mangsa terakhir.

“Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sedang dijalankan bagi mengesahkan identiti tujuh daripada 34 mangsa yang ditemui,” kata pejabat sheriff daerah Santa Barbara di Twitter.

Bagaimanapun, pengawal pantai tidak mendedahkan punca kebakaran itu dalam buletin keselamatan berkenaan, dan nahas terbabit masih dalam siasatan beberapa agensi penguatkuasa undang-undang tempatan serta persekutuan.

Bagaimanapun, pasukan penyiasat dipercayai sedang mengkaji kemungkinan kebakaran itu dicetuskan oleh penumpang yang mengecas peranti elektronik di dek bawah, yang menempatkan bilik tidur.

Justerui, ia menyukarkan penumpang menyelamatkan diri apabila kebakaran berlaku, kerana keadaan ruang yang sempit menyukarkan mereka berbuat demikian. - Reuters

252 dibaca
Berita Harian X