Rabu, 14 Ogos 2019 | 8:26am
FOTO hiasan.

Ribuan mangsa penderaan seksual failkan kes bawah undang-undang baharu

NEW YORK : Lebih daripada seribu orang dijangka memfailkan tindakan undang-undang di mahkamah New York bermula hari ini atas tuduhan penderaan seksual yang dialami mereka ketika masih kanak-kanak dalam satu prosiding khas membabitkan dakwaan berusia puluhan tahun.

Mahkamah New York melantik 45 hakim untuk mengendalikan kes di bawah Akta Mangsa Kanak-Kanak yang diluluskan awal tahun ini.

Peruntukan undang-undang itu menghapuskan statut limitasi selama setahun yang tidak membenarkan tuduhan lama dihadapkan semula ke mahkamah.

Peraturan terbabit turut memperuntukkan tempoh yang lebih panjang ke atas pendakwaan jenayah dan tindakan sivil.

Seramai 12 daripada 45 hakim dilantik untuk kes berkenaan akan berada di New York City dan menerima latihan daripada mahkamah malah institusi keadilan itu turut melaksanakan peraturan bagi mempercepatkan proses yang mungkin akan berakhir dengan pemberian pampasan ke atas mangsa.

“Akta Mangsa Kanak-Kanak yang digubal semula ini membabitkan kes amat penting serta mencabar dan ia perlu ditangani dengan baik dan segera,” kata Ketua Pengurusan Hakim, Lawrence Marks dalam satu kenyataan.

Sebuah firma perundangan, Weitz & Luxenberg memberitahu, mereka akan memfailkan 400 tindakan undang-undang di New York City dengan senarai plaintif daripada kalangan remaja hingga individu berusia 90an.

Satu lagi firma berbeza berkata, mereka mewakili sekurang-kurangnya 170 plaintif dari seluruh negeri dengan kebanyakan aduan membabitkan Gereja Roman Katholik.

“Institusi dan sekolah menyembunyikan kes ini selama berpuluh tahun. Ia sudah berakhir sekarang,” kata peguam di Weitz, Jonathan Sedgh pada sidang media semalam.

“Kita sekarang memiliki peluang untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan,” katanya. - Reuters

Berita Harian X