Ahad, 4 Ogos 2019 | 7:02pm
ANGGOTA polis mengawal di lokasi kejadian tembakan di Dayton, Ohio, awal pagi tadi. - Foto AFP

9 maut tembakan rambang di Ohio

WASHINGTON: Seramai sembilan orang maut dalam insiden tembakan rambang di Dayton, Ohio, awal pagi tadi.

Polis berkata, seorang penyerang ditembak mati oleh pegawai yang membalas tembakan semasa insiden itu.

Leftenan Kolonel Polis, Matt Carper berkata, insiden berlaku kira-kira jam 1 pagi di sebuah bar dan kelab malam terletak di daerah Oregon.

“Kami mengenalpasti seorang penembak selain mengetahui terdapat ramai yang menjadi mangsa.

“Dia mati akibat cedera parah selepas ditembak oleh pegawai polis yang membalas tembakan.

“Terdapat sembilan mangsa yang mati...dan kami menganggarkan terdapat lebih 16 mangsa dibawa ke hospital yang mana keadaan mereka kini belum diketahui,” katanya yang memberitahu wartawan.

Carper berkata, suspek bertindak melepaskan tembakan di jalan raya dengan menggunakan selaras senapang panjang.

Katanya, polis kini sedang berusaha mengenal pasti identiti penembak itu dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berada di lokasi kejadian bagi menyalurkan sebarang bantuan. -AFP.

Berita Harian X