Jumaat, 12 Julai 2019 | 9:27am
ANGGOTA penyelamat membantu penumpang selepas pesawat buat pendaratan cemas di Hawaii. - Foto Reuters

Pesawat Air Canada buat pendaratan cemas di Hawaii

MONTREAL: Penumpang pesawat Air Canada yang sedang dalam penerbangan ke Australia panik dan cemas apabila berdepan masalah pergolakan udara semalam sehingga memaksa pendaratan cemas dilakukan.

Penerbangan AC33 dari Vancouver ke Sydney dilanda masalah terbabit kira-kira dua jam selepas melintasi Hawaii dan terpaksa berpatah semula ke Honolulu iaitu ibu negeri gugusan kepulauan berkenaan, kata syarikat Air Canada menerusi satu kenyataan.

Pesawat Boeing 777-2000 itu selamat mendarat pada jam 6.45 pagi (waktu tempatan), kata kenyataan berkenaan ambil menambah, kira-kira 35 penumpang mengalami kecederaan kecil susulan kejadian.

Penumpang, Jess Smith memberitahu stesen televisyen tempatan KHON bahawa mereka tercampak sehingga ke bumbung pesawat dan jatuh terhempas ke lantai.

“Pesawat itu secara tiba-tiba seolah terjatuh dan ada penumpang yang tidak memakai tali pinggang keselamatan melambung ke udara sebelum kepala mereka terhantuk di bumbung. Keadaan amat mencemaskan ketika itu,” kata seorang lagi penumpang, Fais Asad.

Jurucakap Pengurusan Penerbangan Persekutuan dipetik syarikat penyiaran Kanada, CBC sebagai berkata, insiden berkenaan berlaku pada ketinggian 10,973 meter, kira-kira 966 kilometer di barat daya Honolulu.

Pesawat berkenaan membawa 269 penumpang dan 15 kru kapal. - AFP

Berita Harian X