Jumaat, 28 Jun 2019 | 10:36am
Pemandangan udara tempat perlindungan oleh pendatang dari Afrika, India dan Haiti, di taman 'Feria Mesoamericana', di Tapachula, Chiapas, selatan Mexico. - Foto AFP

Akhbar Mexico siar video wanita pelarian rayu bantuan untuk anak

MEXICO CITY: Rakaman video menyedihkan mula tular yang menunjukkan seorang wanita pendatang merayu bantuan untuk anaknya yang sakit selepas rusuhan berlaku di pusat tahanan Mexico.

Ibu kepada dua anak dari Haiti itu, meniarap dalam keadaan kotor di atas tanah ketika merayu bantuan untuk anak lelaki yang nazak, menerusi ruang di bawah pagar.

Wanita tidak dinamakan itu, mempunyai anak lelaki berusia lima tahun dan 14 bulan, mendakwa mereka menderita tanpa makanan dan air minum selama 10 hari berada di pusat Feria Mesoamericana di Tapachula.

Dalam video yang disiarkan media Mexico, El Universal, wanita itu berkata dengan linangan air mata: “Anak lelaki saya sakit teruk sudah beberapa hari. Saya menderita teruk.

“Mereka tidak memberikan makanan kepada kami walaupun sedikit. Tiada air minum.


Tempat perlindungan oleh pendatang dari Afrika, India dan Haiti, di taman 'Feria Mesoamericana', di Tapachula, Chiapas, selatan Mexico. - Foto AFP

“Tolong saya, tolong saya dengan anak saya. Dia sakit. Anak saya akan mati.”

Bercakap dalam bahasa Sepanyol, wanita itu menghulurkan tangan kepada wartawan di sebelah sana pagar ketika merayu untuk keadilan.

Ratusan pelarian Haiti dan Afrika merusuh Selasa lalu dan cuba melarikan diri daripada pusat imigresen di selatan Mexico.

Ia adalah rusuhan ketiga dalam sebulan, dicetuskan pelarian yang menuntut diberikan makanan, perhatian perubatan dan membantu mereka dengan pemprosesan yang membolehkan mereka meninggalkan pusat itu. - Agensi

229 dibaca
Berita Harian X