Khamis, 13 Jun 2019 | 12:06pm
- Foto Hiasan

3,200 pekerja lombong tembaga bersedia mogok esok

SANTIAGO: Lebih daripada 3,200 pekerja di sebuah lombong tembaga di Chuquicamata merancang untuk mengadakan mogok minggu ini selepas rundingan antara kesatuan dan pengurusan gagal mencapai kata sepakat, kata Codelco pengeluar tembaga terbesar.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, mereka kesal dengan keputusan pekerja yang memutuskan untuk menolak tawaran kontrak yang lebih baik selepas rundingan dibuat untuk mengelak mogok diadakan.

Rakaman video yang tular menunjukkan ketika mesyuarat diadakan pekerja kesatuan melaungkan ‘mogok! mogok! dan mengadakan pungutan suara untuk menghentikan operasi.

Kegagalan itu berlaku selepas dua minggu rundingan antara pengurusan dan tiga kesatuan yang mewakili pekerja lombong terbabit. Codelco adalah pengeluar satu pertiga daripada keluaran tembaga dunia.

Kesatuan pekerja terbabit menolak kerana tawaran akhir kenaikan gaji sebanyak 1.2 peratus dan pakej faedah turut disertakan bernilai AS$20,000 (RM83,232).

Sementara, pihak kesatuan berkata mereka tidak bersetuju kerana bimbang terhadap perbelanjaan perubatan dan pencen.

Menurut Codelco, mereka berusaha memberikan tawaran sebaik mungkin, memandangkan berlaku ketidakpastian berhubung China, pelanggan tembaga terbesar dunia dan terikat dengan perang perdagangan dengan Amerika Syarikat.

Mogok dijangka bermula pada syif kerja pertama esok. - AFP

181 dibaca
Berita Harian X