Khamis, 6 Jun 2019 | 9:21am
Seorang penunjuk perasaan Sudan mengibarkan bendera negaranya sambil berdiri di atas sekatan jalan menuntut agar Majlis Ketenteraan Peralihan negara menyerahkan kuasa kepada orang awam, di Khartoum, Sudan. - Foto REUTERS

Washington gesa rakyat AS di Sudan berwaspada

WASHINGTON: Amerika Syarikat memberi amaran kepada rakyatnya yang berada di Sudan supaya ‘amat berhati-hati’ dan bersedia meninggalkan negara itu apabila angka kematian akibat kekerasan ke atas bantahan melepasi 100.

April lalu, AS sudah pun memberi amaran kepada rakyatnya tidak mengunjungi negara itu jika tiada kepentingan dan mengarahkan kakitangan kedutaan yang tidak penting kembali ke AS apabila demonstrasi semakin merebak di Khartoum.

Mengemaskini garis panduan selepas tentera menamatkan bantahan secara keras, AS berkata kedutaan ditutup kepada umum dan rakyat AS yang masih ada di Sudan perlu bersiap sedia meninggalkan negara itu.

“Berlindung di dalam rumah atau lokasi selamat lain.

“Berwaspada jika anda perlu keluar,” kata Jabatan Negara.

Penunjuk perasaan, diketuai pelajar dan rakyat biasa dicetuskan kos kehidupan, mengadakan bantahan selama beberapa bulan yang membawa kepada penyingkiran Presiden Omar al-Bashir oleh tentera April lalu.

Penunjuk perasaan meneruskan bantahan, menggesa peralihan kepada pentadbiran awam, tetapi tentera Sudan menyuraikan mereka secara keras, mengundang kecaman negara Barat. — AFP

Berita Harian X