Sabtu, 25 Mei 2019 | 10:24am
Jake Patterson (kanan) ketika kali pertama dihadapkan ke mahkamah di Barron, Wisconsin, Amerika Syarikat pada Januari lalu. Foto Reuters

Lelaki bersalah bunuh, culik remaja dipenjara seumur hidup

CHICAGO: Seorang lelaki berusia 21 tahun, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah membunuh pasangan suami isteri, sebelum menculik anak perempuan mereka berusia 13 tahun.

Pada Mac lalu, Jake Patterson mengaku bersalah atas tuduhan menculik serta membunuh pasangan James dan Denise Closs, di kediaman mereka di Wisconsin, Oktober lalu.

Patterson dilaporkan memecah masuk kediaman Closs dengan niat membunuh pasangan itu, supaya tiada saksi yang melihat perbuatannya menculik anak perempuan mereka, Jayme, yang dilihatnya menaiki sebuah bas sekolah.

Di sebaliknya usaha pencarian yang dijalankan di seluruh negara, Patterson berjaya mengurung Jayme selama tiga bulan sebelum beliau dapat melarikan diri, menuju ke kabin milik jiran berhampiran.

Ketika membacakan penghakiman penjara maksimum seumur hidup tanpa parol, Hakim James Babler menolak rayuan yang dikemukakan peguam bela, mengenai tempoh parol.

Babler turut merujuk kepada kenyataan Patterson ketika berada di dalam penjara, iaitu beliau mengaku berkhayal menculik beberapa remaja perempuan dan membunuh keluarga mereka.

“Tiada lagi keraguan bahawa kamu adalah salah seorang lelaki paling bahaya yang pernah berada di planet ini.

“Kamu adalah jelmaan kejahatan dan orang ramai hanya akan selamat jika kamu dipenjarakan sehingga kamu mati,” katanya dalam prosiding mahkamah penuh emosi yang berlangsung selama dua jam.

Dalam perbicaraan itu, buat kali pertama orang ramai berpeluang mendengar kenyataan Jayme yang dibacakan oleh peguamnya, Chris Gramstrup.

“Amat sukar untuk saya berada dalam khalayak ramai. Saya rasa takut dan cemas,” katanya yang memohon hakim mengenakan hukuman maksimum terhadap Patterson.

Sementara itu, Patterson yang sering menganggukkan kepada ketika pihak pendakwaan dan hakim memberikan kenyataan serta penghakiman, memohon maaf atas jenayah yang dilakukannya.

“Saya ingin menyatakan bahawa saya benar-benar mahu melakukan apa sahaja untuk menarik balik apa yang sudah saya lakukan.

“Saya tidak kisah mengenai keadaan diri saya. Saya benar-benar memohon maaf,” katanya. - AFP

450 dibaca
Berita Harian X