Khamis, 23 Mei 2019 | 8:13am
Diasaskan pada 1949, UNRWA menyediakan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan kepada kira-kira lima juta pelarian Palestin di Jordan, Lubnan, Syria, Semenanjung Gaza dan Tebing Barat termasuk Timur Baitulmaqdis. -Foto Agensi

AS gesa agensi PBB bantu pelarian Palestin dibubar

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) semalam menggesa agensi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA) dibubarkan, beberapa minggu sebelum mendedahkan aspek ekonomi pelan damai Asia Barat yang dicadangkannya.

Berucap di hadapan Majlis Keselamatan PBB, penasihat Presiden Donald Trump, Jason Greenblatt berkata, UNRWA umpama ‘pembalut luka’ dan ia adalah masanya menyerahkan perkhidmatan dijamin agensi PBB kepada negara yang menaja pelarian Palestin dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Model UNRWA gagal memberi khidmat kepada rakyat Palestin,” kata Greenblatt kepada Majlis Keselamatan.

Tahun lalu, pentadbiran Trump memutuskan semua pembiayaan kepada UNRWA, mendakwa ia satu kegagalan ketika Washington meneruskan rancangan mencari penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.

Greenblatt, bersama menantu Trump, Jared Kushner mendraf pelan damai berkata, sudah tiba masanya ‘memulakan perbincangan berhubung rancangan peralihan perkhidmatan UNRWA kepada negara penaja atau pertubuhan NGO antarabangsa atau tempatan lain.’

Diasaskan pada 1949, UNRWA menyediakan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan kepada kira-kira lima juta pelarian Palestin di Jordan, Lubnan, Syria, Semenanjung Gaza dan Tebing Barat termasuk Timur Baitulmaqdis.

Agensi itu sekian lama menjadi duri di pihak Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan menggesa UNRWA ditutup, mendakwa ia anti-Israel dan mengekalkan situasi pelarian Palestin.

AS akan mengadakan persidangan di Bahrain pada 25 hingga 26 Jun ini bagi memfokuskan aspek ekonomi pelan damai yang dikatakan Greenblatt mempunyai potensi memberi laluan kepada kemakmuran akan datang penduduk Palestin. -AFP

388 dibaca
Berita Harian X