Sabtu, 18 Mei 2019 | 3:39pm
Bandar Raya Mexico terdedah kepada pencemaran udara, disebabkan ia dikelilingi oleh beberapa gunung, memerangkap asap dan terdapat lebih daripada lima juta kenderaan. - Foto EPA

Penduduk Mexico City hidup dalam jerebu

MEXICO CITY: Kumpulan penyelidik berkata bernafas di kawasan udara paling teruk tercemar di sini, tidak ubah seperti berada di dalam kepulan asap rokok yang dihisap antara suku hingga separuh kotak sehari.

Keadaan itu tidak mematahkan semangat Oscar Chong daripada keluar melakukan aktiviti senaman harian, walaupun amaran empat hari dikeluarkan oleh pihak berkuasa agar orang ramai tidak melakukan aktiviti fizikal di luar rumah.

“Saya sangat ketagih melakukan senaman. Jika saya tidak bersenam setiap hari, saya tidak rasa sihat. Ia juga turut membantu mengeluarkan kreativiti, daripada banyak benda lain.

“Jika saya tinggal saja di rumah, saya hanya akan melihat ke arah dinding, melihat skrin komputer, dan idea tidak dapat dihasilkan dengan cara itu,” kata Chong yang juga seorang pereka grafik kepada AFP.

Lelaki berusia 51 tahun itu terpaksa merehatkan diri daripada aktiviti senaman di taman terbesar, Bosque de Chapultepec, yang diarahkan tutup oleh pihak berkuasa minggu ini.

Keadaan itu tidak menggalakkan aktiviti berlari atau berbasikal di tengah-tengah amaran pencemaran udara adalah idea yang tidak begitu bijak.

Bandar raya luas itu, sebuah kawasan metropolitan yang menempatkan 20 juta orang penduduk, diselimuti asap hitam sejak minggu lalu.

Pihak berkuasa menyalahkan masalah kebakaran terbuka yang berlaku di seluruh Mexico tengah dalam tempoh beberapa minggu lalu menjadi punca, ditambah kekurangan angin atau hujan untuk membantu memulihkan keadaan.

Bagaimanapun, pakar bersetuju masalah pencemaran yang kronik di bandar raya itu juga turut menjadi punca.

Bandar Raya Mexico terdedah kepada pencemaran udara, disebabkan ia dikelilingi oleh beberapa gunung, memerangkap asap dan terdapat lebih daripada lima juta kenderaan.

Apa pun, kebakaran hutan menjadikan keadaan lebih buruk. Ia menyebabkan pencemaran apabila zarah-zarah kecil yang dibebaskan oleh kebakaran menjadikan tahap bacaan pencemaran berada pada PM2.5. Ia adalah pencemaran udara paling teruk. - AFP

138 dibaca
Berita Harian X