Sabtu, 18 Mei 2019 | 1:08pm
PENUNJUK perasaan anti-kerajaan di Managua. - Foto AFP

AS desak Nicaragua siasat kematian rakyatnya

MANAGUA: Penunjuk perasaan yang ditembak mati di penjara Nicaragua minggu ini adalah rakyat Amerika Syarikat yang bertugas dengan Tentera Laut, tetapi kembali ke tanah air menuntut perubahan kerajaan, kata keluarganya.

Kementerian dalam negeri Nicaragua berkata, Eddy Montes, meninggal dunia pada Khamis lalu selepas dia dan beberapa banduan lain cuba merampas pistol daripada pengawal penjara ketika kumpulan Pertubuhan Palang Merah mengadakan lawatan. Pengawal terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.

Montes dipenjara selepas terbabit dengan tunjuk perasaan membantah Presiden Daneil Ortega pada Oktober tahun lalu, ketika bantahan itu berlaku, kira-kira 300 orang terbunuh.

Bantahan itu meletus berpunca akibat dana bantuan kebajikan yang disalah gunakan tetapi gerakan bantahan menjadi semakin meluas untuk menjatuhkan Ortega yang menjadi presiden untuk penggal ketiga.

Kumpulan pembangkang berkata, Montes dikuasai kemarahan dan mereka bakal merancang bantahan baharu hujung minggu ini.

Susulan itu, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mengecam kematiannya yang disifatkan berpunya daripada polis rusuhan Nicaragua dan menggesa kerajaan negara itu menyiasat secara terperinci insiden itu. Ia turut mendesak agar membebaskan banduan politik.

“Kurangnya keadilan untuk semua banduan dan ratusan orang awam yang dibunuh oleh pengawal keselamatan Orgega dan pasukan separa polis menunjukkan regim itu tidak menghormati kehidupan manusia dan kebebasan demokrasi,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Kerajaan Nicaragua melarang tunjuk perasaan pada November tahun lalu dan menuduh penunjuk perasaan sengaja menimbulkan kekacauan.

Menurut keluarga Montes, dia menghabiskan kebanyakan zaman kanak-kanak dan dewasanya di Amerika Syarikat, tetapi kembali ke Nicaragua pada awal 1980 untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Ortega dan parti berhaluan kirinya, Sandinista mula mengambil alih kuasa setahun kemudian. - Reuters

100 dibaca
Berita Harian X