Sabtu, 18 Mei 2019 | 11:44am

Simulator pesawat 737 MAX 8 sudah pulih - Boeing

SEATTLE: Syarikat Boeing sudah membuat pembetulan perisian simulator meniru pengalaman penerbangan pesawat 737 MAX 8 yang terbabit dalam dua kemalangan, termasuk maklumat tambahan peranti pengendalian, kata seorang jurucakap.

Gordon Johndroe berkata, berkata perubahan akan memastikan pengalaman simulator itu mewakili keadaan penerbangan yang berbeza dan akan meningkatkan simulasi beban daya pada roda manual yang membantu mengawal pesawat.

Kenyataan itu dibuat selepas New York Time pada Jumaat melaporkan Boeing menyedari bahawa pesawat simulator penerbangan yang digunakan untuk melatih juruterbang tidak dapat meniru keadaan kemalangan yang membabitkan pesawat 737 MAX 8.

“Boeing bekerjasama rapat dengan pengeluar peranti dan pengawal selia berhubung perubahan dan penambah baik serta memastikan latihan pelanggan tidak terganggu,” kata Johndroe.

Menurut laporan New York Times, walaupun Boeing tidak membina simulator terbabit tetapi pembuat pesawat itu menyediakan maklumat dasar bagaimana ia direka dan dibina.

Pesawat 737 MAX digantung sejak Mac lalu susulan pesawat milik Ethiopian Airlines terhempas, mengorbankan 157 penumpang dan anak kapal, lima bulan selepas kemalangan sama membabitkan Lion Air yang mengorbankan 189 orang penumpang serta anak kapal.

Pada Khamis lalu, Boeing mengesahkan ia sudah mengemaskini perisian untuk pesawat 737 MAX dan sudah menghantar pelan untuk latihan juruterbang kepada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat. - Reuters

163 dibaca
Berita Harian X