Sabtu, 18 Mei 2019 | 11:18am
RIRKRIT Tiravanija

Pelukis Thailand guna kari satukan penggemar seni

WASHINGTON: Pelukis Thailand menggunakan masakan kari untuk meraikan dan menyatukan pengunjung yang datang ke Muzium Hirshhorn pada hari pembukaan pesta lukisan.

Rirkrit Tiravanija yakin pengalaman bersama ini boleh mendekatkan jurang perbezaan budaya tanpa mengira kaya atau miskin, liberal atau konservatif, walaupun daripada latar belakang berbeza kita akan sudi duduk untuk makan bersama.

Pesta adalah sebahagian daripada seni. Pengunjung disajikan dengan masakan kari pelbagai warna, merah, kuning dan hijau sambil menonton pelukis tempatan menyiapkan lukisan fotorealistik pada dinding galeri yang mengisahkan bantahan yang berlaku di Thailand dan Amerika Syarikat.

“Ada individu yang tidak akan duduk bersebelahan, tidak mahu saling mengenali, mempelajari mengenai diri masing-masing dalam cara yang berbeza,” kata Tiravanija kepada AFP.

Ketika mengadakan persembahan di Bangkok pada 2010, Tiravanija memasak sendiri semua hidangan di kawasan terbuka dengan menggunakan bahan-bahan segar, tetapi semua itu pasti sukar di lakukan di muzium Amerika yang menitik beratkan isu keselamatan.

Kali ini, di Hirshhorn, beliau menyerahkan semuanya kepada restoran Beau Thai untuk menyediakan perkhidmatan katering.

“Tidak setiap hari kita mempunyai makanan dan elemen panas, atau api seperti yang dikatakan penyelia kebakaran,” kata pengarah muzium, Melissa Chiu.

Walaupun hidangan kari semakin berkurangan, tetapi aromanya kekal memenuhi ruang bilik yang boleh memuatkan 150 orang, merancakkan lagi pertemuan, perbualan dan seterusnya perbincangan mereka.

Tiravanija yang pernah menyertai pameran Art Basel pada 2015, adalah sebahagian daripada kumpulan artis termasuk Pierre Huyghe, Liam Gillick dan Jorge Pardo yang prihatin terhadap ‘hubungan estetika’. Hasil kerja mereka ditentukan oleh interaksi dan koloborasi yang mereka tonjolkan.

“Ia adalah satu pengalaman, ia membabitkan seni sosialis idea dan membuka ruang untuk perbincangan secara terbuka,” kata kurator muzium, Mark Beasley. - AFP

45 dibaca
Berita Harian X