Sabtu, 18 Mei 2019 | 10:39am
- Foto Hiasan

Doktor universiti cabul 177 pelajar lelaki

WASHINGTON: Doktor di Universiti Ohio State mendera secara seksual sekurang-kurangnya 177 pelajar lelaki dalam masa hampir dua dekad dan tidak pernah dikenakan tindakan disiplin walaupun ada laporan mengenai tindakannya, menurut siasatan yang dibuat semalam.

Richard Strauss, yang meninggal dunia pada 2005, melakukan penderaan itu ketika ditugaskan di universiti berkenaan dari 1978 hingga 1998, dan kakitangan universiti menyedari dakwaan itu seawal 1979, menurut siasatan bebas selama 12 bulan itu.

Siasatan meneliti dakwaan salah laku dari 1979 hingga 1997 yang dilaporkan bekas pelajar, 150 daripada mereka membuat laporan terus mengenai penderaan seksual yang dilakukan Strauss.

Semuanya, lebih 440 bekas pelajar dan kakitangan universiti yang dipercayai memiliki maklumat berkaitan dakwaan membabitkan Strauss ditemubual untuk siasatan itu.

Mangsa termasuk atlit universiti selain pelajar lain yang melihat Strauss di pusat kesihatan universiti dan pejabat perubatan persendirian di luar kampus.

Strauss menubuhkan pejabat perubatan persendirian pada 1996 selepas digantung tugas sebagai doktor di universiti berkenaan tetapi kekal sebagai anggota fakulti.

Presiden universiti, Michael Drake, berkata siasatan bebas dilancarkan mengenai dakwaan selepas ia dibawa ke pengetahuan universiti itu tahun lalu.

“Hasil siasatan amat mengejutkan dan amat menyakitkan untuk difahami.

“Bagi pihak universiti, kami amat kesal dan memohon maaf dengan ikhlas kepada semua yang berhadapan penderaan Strauss,” kata Drake ketika menyiarkan laporan itu kepada umum. — AFP

275 dibaca
Berita Harian X