Sabtu, 18 Mei 2019 | 8:17am
- Foto Hiasan

Bekas ejen CIA dipenjara 20 tahun

WASHINGTON: Bekas pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) dijatuhi hukuman penjara 20 tahun semalam kerana mengintip untuk China dalam kes yang disifatkan sebagai ‘aliran membimbangkan’ dalam komuniti perisikan Amerika Syarikat.

Kevin Mallory, 62, disabitkan menurut Akta Pengintipan kerana menjual maklumat pertahanan sulit AS kepada ejen perisikan China pada harga AS$25,000 (RM104,000) ketika lawatan ke Shanghai pada Mac dan April 2017.

“Matlamat anda adalah mendapatkan maklumat dan matlamat saya mendapat bayaran,” katanya kepada ejen China berkenaan dalam mesej pada 5 Mei 2017.

Beliau fasih berbahasa Mandarin dan pernah berkhidmat dengan tentera AS, kemudian sebagai ejen khas bagi perkhidmatan keselamatan Jabatan Negara, sebelum menjadi kes sulit bagi CIA.

Mallory ialah seorang daripada beberapa pegawai AS dengan akses kepada keselamatan tahap tertinggi yang ditahan dan didakwa kerana berhubung dengan perisikan China.

Bekas pegawai CIA, Ron Hansen, berhadapan 15 tahun penjara selepas mengaku bersalah Mac lalu kepada dakwaan cuba menjual maklumat sulit kepada China.

Dalam kes paling menonjol, pada 1 Mei, bekas pegawai CIA, Jerry Chun Shing Lee, mengaku bersalah mengintip untuk China.

Lee, 54, berhadapan hukuman penjara seumur hidup. — AFP

507 dibaca
Berita Harian X