Jumaat, 17 Mei 2019 | 12:06pm
Gambar dari Jabatan Penetapan Tennessee menunjukkanDonnie Edward Johnson 68, disabitkan hukuman kerana membunuh isterinya, Connie Johnson, di Memphis, Tennesse pada 1984. - Foto AFP

Dua banduan akhir jalani hukuman mati di AS

WASHINGTON: Dua lelaki yang masing-masing disabitkan bersalah kerana membunuh menjalani hukuman suntikan maut semalam.

Donnie Edward Johnson, 68, disabitkan pada 1984 membunuh isterinya, Connie Johnson di Memphis dengan melemaskan mangsa menggunakan plastik sampai.

Sementara Michael Brandon Samra, 41, didapati bersalah pada 1998 membunuh Randy Duke, teman wanita Duke, Dedra Mims Hunt, dan dua anak perempuan Hunt berusia enam dan tujuh tahun.

Samra, yang digambarkan sebagai mengalami ‘masalah mental’ dalam dokumen mahkamah, berusia 19 tahun ketika pembunuhan dilakukan di Pelhan, Alabama pada 1997.

Beliau melakukan jenayah itu bersama-sama anak Duke, Mark, 16, yang marah kerana bapanya tidak membenarkan dia menggunakan trak.

Randy Duke dan Dedra Mims Hunt ditembak mati manakala leher kedua-dua budak perempuan itu dikelar.

Mark juga dijatuhkan hukuman mati tetapi diubah kepada penjara seumur hidup selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat mendapati pesalah yang berusia bawah 18 tahun ketika melakukan jenayah tidak boleh dihukum mati.

Sementara di Tennessee, Johnson meminta Gabenor Bill Lee menangguhkan hukumannya kerana sudah bertaubah menerusi amalan agama Seventh-Day Adventist ketika dipenjarakan.

Walaupun disokong mendapatkan pengampunan daripada ketua gerejanya dan anak perempuan mangsa, Lee menolak. — AFP

826 dibaca
Berita Harian X