Khamis, 9 Mei 2019 | 7:17am
Salah seorang suspek, Devon Erickson, 18, didakwa atas tuduhan membunuh dan cubaan membunuh di Mahkamah Daerah Douglas selepas ditahan dalam kejadian tembakan di Sekolah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Highlands Ranch di Colorado, kelmarin. Foto Reuters

Remaja perempuan salah seorang suspek tembakan

HIGHLANDS RANCH (AMERIKA SYARIKAT): Polis Denver mengesahkan salah seorang suspek insiden tembakan di sebuah sekolah di Colorado, kelmarin, adalah remaja perempuan bawah umur.

Kejadian tembakan itu mengakibatkan seorang pelajar maut, manakala lapan lagi cedera.

Terdahulu, sherif daerah Douglas di pinggir bandar Denver berkata, pihaknya berjaya menahan dua suspek lelaki dan kedua-duanya adalah pelajar di sekolah STEM Highlands Ranch.

Salah seorang suspek dilaporkan berusia 18 tahun, sementara seorang lagi adalah remaja bawah umur.

Namun, Sherif Tony Spurlock, semalam berkata, remaja itu adalah perempuan dan pegawainya melakukan kesilapan ketika mengenal pasti identitinya, berikutan keadaan penampilannya.

Spurlock berkata, tiga daripada lapan pelajar yang cedera, masih dirawat di unit rawatan rapi di sebuah hospital di sini, manakala bakinya sudah dibenarkan keluar.

Sementara itu, pelajar sekolah tinggi berusia 18 tahun yang maut, dikenali sebagai Kendrick Ray Castillo dan beliau dijangka tamat pengajian dalam tempoh tiga hari lagi, iaitu pada akhir penggal persekolahan.

“Seluruh negara bersedih dengan keganasan yang meragut nyawa seorang remaja yang amat bernilai dan mencederakan yang lain di Colorado,” kata Presiden Donald Trump di Twitter, sambil memuji tindakan pantas anggota perkhidmatan kecemasan mengawal keadaan.

Dalam satu sidang media, Spurlock berkata, salah seorang suspek berjaya ditahan anggota pengawal bersenjata sebelum ketibaan polis, dalam tempoh yang singkat di lokasi kejadian.

“Tiada kejadian berbalas tembakan dengan suspek dan dua pistol berjaya dirampas ,” katanya.

Beliau berkata, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) turut terbabit dalam siasatan kejadian itu.

Dalam pada itu, suspek remaja lelaki berusia 18 tahun sudah dihadapkan ke mahkamah bagi mendengar pertuduhan. - AFP

Berita Harian X