Rabu, 8 Mei 2019 | 11:58pm
KEADAAN bangunan yang terbakar di Harlem, New York. - Foto Reuters

Enam maut apartmen di New York terbakar

NEW YORK: Enam orang termasuk empat kanak-kanak maut dalam kebakaran membabitkan sebuah bangunan apartmen di Harlem, dekat sini.

Jabatan Bomba New York berkata, ratusan anggota bomba berkumpul di bangunan itu selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.40 pagi waktu tempatan.

“Anggota kami bertungkus lumus memadamkan api. Apabila mereka tiba di bilik tidur belakang, mereka menjumpai enam mayat iaitu empat kanak-kanak dan dua orang dewasa dalam bilik itu,” kata Ketua Jabatan Bomba New York, Daniel Nigro menerusi Facebook.

Katanya, kebakaran awal dikesan di luar tingkap apartmen oleh jiran yang tinggal di bangunan seberang jalan.

Tambahnya, semasa anggota bomba tiba, ‘seluruh apartmen’ sudah terbakar dan api berjaya dikawal kira-kira sejam selepas itu.

Sementara itu, jurucakap jabatan bomba berkata tiga orang sudah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan selepas terhidu asap berlebihan.

Katanya punca kebakaran sedang disiasat. -AFP.

265 dibaca
Berita Harian X