Selasa, 30 April 2019 | 12:55am

Jumlah kes campak di AS tertinggi dalam masa 25 tahun

WASHINGTON: Bilangan kes campak di Amerika Syarikat mencecah 704 untuk tahun ini minggu lalu, jumlah tertinggi dalam masa 25 tahun, kata pegawai semalam.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) berkata, menjelang 29 April, 704 kes campak disahkan di 22 negeri di AS sejak awal tahun ini.

Ia bertambah sebanyak 78 kes daripada minggu sebelumnya.

Campak diisytiharkan sudah terhapus di AS pada 2000 tetapi tahun ini melihat jumlah tinggi kes disahkan sejak 1994.

Tiga peratus daripada kes campak menyebabkan radang paru-paru, manakala sembilan peratus cukup serius sehingga perlu ditahan di hospital, kata pengarah CDC, Robert Redfield.

“Pada masa ini, tiada lagi kematian,” kata Redfield.

Ada 17 penularan kes pada 2018, tetapi kebanyakannya cuma berlaku di New York, New York City dan New Jersey, terutama dalam kalangan anggota komuniti Yahudi Ortodoks yang tidak mengambil suntikan vaksin.

“Keluarga menjadi sasaran dengan maklumat tidak tepat dan mengelirukan mengenai vaksin,” kata ketua Pusat Imunisasi dan Penyakit Pernafasan CDC, Nancy Messonnier. — AFP

109 dibaca
Berita Harian X