Selasa, 16 April 2019 | 1:46am
FOTO hiasan.

Angkara gerakan anti vaksin, kes campak AS naik 20 peratus

NEW YORK: Kes demam campak di Amerika Syarikat melonjak hampir 20 peratus, sejak seminggu lalu, kepada 555 kes walaupun ketika pihak berkuasa di salah satu daripada dua kawasan paling teruk terjejas, New York berdepan cabaran di mahkamah terhadap cubaan mereka mewajibkan vaksin.

Data baharu oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit itu menunjukkan wujud tambahan 90 kes disahkan, setakat 11 April berbanding minggu sebelumnya yang menjadikan jumlah keseluruhan 555 kes, tahun ini.

Data terbaharu AS itu berlaku, ketika Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan peningkatan 300 peratus kes demam campak di seluruh dunia untuk tempoh tiga bulan pertama, tahun ini.

Lonjakan jangkitan kedua terburuk itu disebabkan gerakan anti vaksin AS, sejak virus amat mudah berjangkit itu diisytiharkan hapus sepenuhnya pada 2000.

Kes dikesan di 20 negeri AS, tumpuan jangkitan terbesar adalah di Bandaraya New York dengan 285 kes bagi populasi seramai 8.5 juta orang dan daerah Rockland, New York yang mempunyai 184 kes disahkan bagi 300,000 penduduk.

Untuk mengekang wabak itu, kedua-dua pejabat Datuk Bandar daerah Rockland dan New York mengisytiharkan darurat dan mengambil langkah luar biasa sehingga membawa kepada penentangan golongan anti vaksin.

Pada 9 April lalu, Bandaraya New York mengarahkan semua individu yang tinggal dan bekerja di empat kawasan paling teruk terjejas di sektor Williamsburg di Brooklyn, jika gagal mereka boleh berdepan pendakwaan jenayah dengan denda AS$1,000 (RM4,115). - AFP

368 dibaca
Berita Harian X