Rabu, 10 April 2019 | 11:28am
Ketua UNHCR, Filippo Grandi menyifatkan maklum balas rakyat dan kepimpinan di New Zealand sebagai ‘contoh.’ -Foto Agensi

Pembunuhan masjid NZ akibat politik, media toksik - PBB

NEW YORK: Ketua Pesurujaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) (PBB), Filippo Grandi memberi amaran semalam, serangan kejam dua masjid New Zealand adalah disebabkan ketoksikan paling teruk dalam politik dan media terhadap pelarian, pendatang dan orang asing yang disaksikan beliau dalam tempoh lebih 30 tahun.

Dalam serangan langsung disiarkan di Facebook, pengganas kulit putih bersenjatakan senapang semi-automatik menyasar umat Islam yang solat Jumaat di dua masjid Christchurch, 15 Mac lalu, membunuh 50 jemaah dan mencederakan puluhan lain.

Suspek pengganas kulit putih dari Australia itu didakwa dengan 50 tuduhan membunuh.

Grandi memberitahu Majlis Keselamatan PBB, perbincangan global mengenai pelarian dan pendatang ‘seharusnya menjadi perhatian kita semua.’ Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan sesiapa secara khusus.

“Saya tidak pernah menyaksikan ketoksikan seperti itu, racun dalam bahasa politik, dalam media, dalam media sosial, malah perbincangan harian dan perbualan berkisar isu ini.

“Ketoksikan yang memfokuskan, malangnya, secara tragik sering berkisar isu pelarian, pendatang, orang asing.

“Apa yang kita lihat di Christchurch, New Zealand, adalah juga hasil bahasa toksik politik,” kata Grandi kepada 15 anggota majlis ketika mesyuarat situasi pelarian global.

Susulan insiden tembakan itu, Australia dilingkari perdebatan hangat mengenai kedua-dua dasar perkauman masa lalu dan jika laluan politik terbaharu mengenai pendatang dan Islam memainkan peranan dalam radikalisasi suspek pengganas kulit putih.

Pengganas itu, Brenton Tarrant, 28, dalam satu manifesto diedarkan di internet sebelum serangan Christchurch berkata, dia mengumpul kebencian akibat perkauman di internet namun tidak mengaitkannya dengan Australia, mengatakan dia menjadi radikal di luar negara.

Manifesto itu juga memuji Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebagai ‘simbol identiti kulit putih diperbaharui dengan tujuan bersama.’

Umat Islam seluruh dunia memuji cara New Zealand menangani pembunuhan itu, terutama tindak balas Perdana Menterinya Jacinda Ardern yang memakai selendang untuk bertemu keluarga mangsa dan menggesa negara itu bersatu dengan gesaan: “Kita adalah satu.”

Grandi menyifatkan maklum balas rakyat dan kepimpinan di New Zealand sebagai ‘contoh.’ -Reuters


Keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan susulan serangan di Masjid Al-Noor Christchurch, bulan lalu. -Foto Agensi

638 dibaca
Berita Harian X