Khamis, 28 March 2019 | 8:32am
Foto fail dari yang dikeluarkan pada 11 Januari 2019, oleh Jabatan Sheriff Barron County di Wisconsin, memaparkan penjenayah Jake Thomas Patterson, 21, yang disyaki menculik Jayme Closs, 13. - Foto AFP

Pemuda mengaku bersalah bunuh suami isteri, culik anak mangsa

CHICAGO : Seorang pemuda berusia 21 tahun mengaku bersalah semalam atas tuduhan membunuh sepasang suami isteri dengan menembak mereka sehingga mati sebelum menculik anak perempuan kedua mangsa,

Pembunuhan James dan Denise Closs di Wisconsin Oktober tahun lalu menyebabkan gerakan mencari besar-besaran dilancarkan di seluruh negara bagi menjejak anak perempuan kedua mangsa, Jayme, 13 tahun yang dikurung selama tiga bulan sebelum berjaya melarikan diri.

Dalam satu perjanjian bersama pendakwa, Jake Patterson mengaku bersalah atas dua tuduhan pembunuhan darjah pertama dan satu tuduhan penculikan.

Dia berdepan hukuman penjara sepanjang hayat apabila dijatuhkan hukuman pada 24 Mei nanti.

Patterson yang digambarkan media sebagai pendiam dan sering menyendiri serta tidak memiliki ramai kawan dilihat menangis ketika membuat rayuan.

Dalam satu surat bertulis tangan yang diserahkan kepada stesen televisyen KARE bulab lalu, dia berjanji akan mengaku salah bagi membolehkan Jayme terlepas dari mengikuti perbicaraan.

“Saya tahu apabila saya ditangkap (saya berfikir akan berlaku lebih awal lagi), saya tidak akan melawan. Sebab saya melakukan perbuatan ini sangat rumit. Ia adalah satu perbuatan spontan. Saya tidak berfikir seperti seorang pembunuh bersiri,” katanya dipetik KARE sebagai berkata.

Patterson dilaporkan melihat Jayme menaiki bas sekolah ketika memandu ke pejabat.

Dia tidak mengenali remaja terbabit tetapi bertindak mengekorinya ke rumah mangsa di Barron County.

Pada 15 Oktober, dia kembali ke rumah berkenaan bersenjatakan senapang patah, sebelum menembak mati ibu bapa Jayme dan melarikan remaja terbabit. - AFP

1117 dibaca
Berita Harian X