Sabtu, 16 March 2019 | 9:38am
PAKAR forensik memeriksa beg plastik berisi rangka manusia di Jalisco, Barat Mexico. - Foto AFP

Pihak berkuasa siasat penemuan rangka manusia dalam 19 beg plastik

MEXICO CITY: Satu siasatan sedang dijalankan susulan penemuan rangka manusia di dalam 19 beg plastik di Jalisco, barat Mexico yang terdedah kepada ancaman keganasan kumpulan jenayah.

Pejabat peguam negeri Jalisco semalam berkata, pakar forensik sedang berusaha menentukan sama ada beg plastik berkenaan mengandungi rangka tubuh yang lengkap dan jika mangsa pernah dilaporkan hilang sebelum ini.

Pihak berkuasa menemui kesemua beg terbabit Khamis lalu di sungai kumbahan dalam kawasan perbandaran Ixtlahuacan de los Membrillos, kira-kira 41 kilometer di selatan ibu negeri, Guadalajara.

Usaha mencari ditangguhkan malam Khamis atas faktor keselamatan dan disambung semula pagi Jumaat, kata pegawai di pejabat peguam negeri yang enggan dikenali.

Jalisco sejak beberapa tahun kebelakangan ini dicemari keganasan oleh Kartel Dadah Generasi Baru Jalisco, antara kumpulan dadah paling berkuasa di Mexico.

Pertempuran antara kumpulan menjadikan jumlah pembunuhan mengatasi rekod dicatatkan Mexico tahun lalu dan kes keganasan kekal tinggi untuk beberapa bulan pertama pemerintahan presiden Andrez Manuel Lopez Obrador. - Reuters

Berita Harian X