Jumaat, 15 March 2019 | 8:49pm

Trump, Ratu Elizabeth selar serangan masjid Christchurch

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengutuk serangan dan pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di New Zealand, ketika solat Jumaat hari ini, sehingga mengorbankan 49 jemaah.

“Saya amat bersimpati kepada rakyat New Zealand, susulan penyembelihan kejam di dua masjid ini. 49 orang meninggal dunia dalam keadaan yang langsung tidak boleh diterima dengan ramai mangsa lain cedera.

“AS bersama New Zealand dalam apa bentuk sokongan yang mereka mahu. Semoga Tuhan merahmati semua!” kata Trump di Twitter.

Dalam pada itu di London, Ratu Elizabeth II berkata, beliau amat sedih dengan serangan itu.

“Saya amat sedih dengan kejadian di Christchurch. Dalam waktu tragik sebegini, saya mendoakan semua rakyat New Zealand.

“Saya dan Putera Philip mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa yang meninggal dunia,” katanya.

Ratu Elizabeth, 92, adalah pemerintah diraja tertua dan paling lama berkhidmat di dunia, beliau adalah ratu kepada 15 negara selain Britain termasuk Australia, Kanada dan New Zealand. - AFP

1350 dibaca
Berita Harian X