Selasa, 19 Februari 2019 | 9:37pm
SENATOR Bernie Sanders. - Foto AFP

Bernie Sanders umum bertanding pilihan raya 2020

WASHINGTON: Senator Bernie Sanders mengumumkan akan bertanding pada pilihan raya presiden 2020, usaha keduanya menduduki Rumah Putih selepas mendapat sokongan mengejutkan sebagai calon Democrat pada 2016.

Sanders, 77, membuat pengumuman itu dalam temubual radio di Vermont.

“Saya mahu penduduk Vermont tahu mengenai perkara ini dahulu,” kata Sanders kepada Radio Umum Vermont.

Tokoh Democrat itu menyertai senarai panjang calon untuk mencabar Presiden Donald Trump dan Republican pada 2020.

Sanders memberikan idea cara beliau berkempen.

“Apa yang saya janjikan adalah, apabila berkempen ke seluruh negara, mengambil semua nilai di Vermont yang kita banggakan, kepercayaan kepada keadilan, dalam komuniti, dalam akar umbi politik, dalam mesyuarat, itu yang akan saya bawa ke seluruh negara,” katanya.

Beliau juga menggelar Trump sebagai keaiban negara dan penipu.

“Saya juga rasa beliau rasis, prejudis terhadap wanita, tidak menyukai golongan homoseksual, membenci pendatang, seseorang yang mencapai kemuncak politik dengan cuba menekan golongan minoriti, selalunya pendatang tanpa dokumen,” kata Sanders.

Sanders gagal pada pencalonan Democrat untuk jawatan presiden pada pilihan raya 2016, kalah kepada Hillary Clinton, yang kemudian ditewaskan pula oleh Trump.

Seperti Trump, Sanders ialah orang luar pada permulaan kempen pencalonan presiden 2016, tetapi hampir mengecewakan Clinton.

Beliau mendapat sokong dalam kalangan belia liberal dengan desakan bagi penjagaan kesihatan meluas, dan pendidikan universiti awam percuma. — AFP

Berita Harian X