Sabtu, 16 Februari 2019 | 1:58am
PRESIDEN Donald Trump, isytihar darurat peringkat nasional - Foto AFP

Trump isytihar darurat, yakin menang di mahkamah

WASHINGTON: Presiden Donald Trump mengisytiharkan darurat peringkat nasional, semalam, dalam usaha beliau menampung janji membina tembok sempadan dengan Mexico tanpa kelulusan Kongres.

Pada masa sama, Demokrat berjanji untuk mencabar tindakan itu di mahkamah kerana berpendapat ia melanggar Perlembagaan Amerika Syarikat (AS).

Trump sebelum ini gagal mendapatkan dana tembok sempadan sebanyak AS$5.7 bilion (RM23.27 bilion) dalam rang undang-undang untuk menampung kos operasi agensi kerajaan.

Beliau menggunakan strategi undang-undang tidak jelas menerusi darurat nasional dan mungkin beliau terpaksa berdepan pertikaian panjang dengan Demokrat dan boleh membawa kepada perpecahan dalam Repulikan.

Speaker Demokrat yang menguasai Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi dan pembuat dasar utama Demokrat di Senat, Chuck Schumer pantas memberikan maklum balas terhadap pengisytiharan Trump.

“Tindakan Presiden jelas melanggar kuasa ekslusif Kongres dalam menentukan dana kerajaan, ia ditetapkan pengasas negara ini dalam Perlembagaan.

“Kongres akan mempertahankan kuasanya seperti dalam perlembagaan di mahkamah dengan menggunakan segala cara yang ada,” menurut kenyataan mereka.

Peguam negeri New York, Letitia James berkata, jabatan beliau akan mencabar Trump di mahkamah.

“Kami tidak akan membiarkan salah guna kuasa ini dan akan melawan dengan sehala alat undang-undang yand ada,” kata James di Twitter.

Presiden mengakui perintah beliau akan berdepan pertikaian panjang di mahkamah. “Kita akan menang di Mahkamah Agung,” kata Trump.

Ada pakar undang-undang berpendapat pentadbiran Trump mungkin akan menang.

Akta Darurat Nasional 1976 memberikan kuasa kepada Presiden AS untuk mengisytiharkan darurat. Undang-undang itu juga memberikan ruang kepada Kongres untuk mencabar pengisytiharan sedemikian.

Beberapa pakar undang-undang dari Jonathan Turley of Georgetown University dan William Banks of Syracuse University berkata, jika Kongres gagal mengundi menolak pengisytiharan darurat Trump, mahkamah mungkin tidak akan mengambil tindakan terhadap tindakan presiden dalam mentafsir isu keselamatan nasional. - Reuters

1656 dibaca
Berita Harian X