Selasa, 12 Februari 2019 | 1:39pm
Polis dan penyelamat menjawab panggilan jam 10.30 pagi berhubung penemuan beberapa mangsa serangan dalam kediaman di Texas, AS. -Foto hiasan

5 sekeluarga maut ditembak di AS

BLANCHARD: Lima sekeluarga termasuk kanak-kanak berusia 15 bulan ditemui mati ditembak dalam sebuah rumah di timur Texas, Amerika Syarikat (AS) semalam, kata polis.

Polis dan penyelamat menjawab panggilan jam 10.30 pagi berhubung penemuan beberapa mangsa serangan dalam kediaman di Texas di sini, kata Pejabat Sherif Polk County dalam Facebook.

Di tempat kejadian, katanya, mereka menemui beberapa mangsa dengan kecederaan akibat ditembak.

Pegawai sherif berkata, dua mayat lelaki ditemui dalam rumah sementara dua wanita dan kanak-kanak perempuan ditemui di luar kediaman.

Timbalan Ketua Sherif, Byron Lyons mengenal pasti mangsa yang maut sebagai Ashley Delaney dan suaminya, Randy Horn serta ibu dan bapa Delaney, Carlos dan Lynda Delaney.

Identiti kanak-kanak itu belum didedahkan namun Lyons berkata, seorang wanita ditemui selamat dan terkunci dalam almari bilik tidur.

Dia memaklumkan penyiasat, dirinya terjaga kira-kira jam 5.30 pagi semalam berikutan mendengar pergaduhan dan menelefon anak lelakinya yang kemudian memaklumkan pihak berkuasa kira-kira jam 10.30 pagi.

Lyons berkata, senjata ditemui di rumah itu yang terletak sejauh 121 kilometer di timur laut Houston dan tiada suspek ditangkap. Bagaimanapun beliau enggan merumuskan insiden sebagai pembunuhan dan bunuh diri. -Reuters/Agensi

560 dibaca
Berita Harian X