Selasa, 12 Februari 2019 | 9:50am
- Foto Hiasan

Satu dalam enam kanak-kanak AS alami gangguan mental

MICHIGAN: Satu dalam setiap enam kanak-kanak di Amerika Syarikat berhadapan gangguan kesihatan mental, dan cuma separuh daripada mereka mendapat rawatan daripada pakar.

Di seluruh negara, anggaran 7.7 juta kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun mengalami masalah itu atau kira-kira 16.5 peratus kanak-kanak pada usia sekolah, menurut kajian.

Kelaziman masalah kesihatan mental ketika kanak-kanak adalah daripada serendah 7.6 peratus di Hawaii sehingga kepada setinggi 27.2 peratus di Maine.

Separuh daripada kanak-kanak dengan masalah seperti kemurungan, kebimbangan dan hiperaktif tidak mendapat sebarang rawatan daripada profesional kesihatan mental.

“Gangguan kesihatan mental memang jelas, dan boleh menjadi amat melemahkan dari segi pertumbuhan menyihatkan terutama bagi kanak-kanak dan remaja.

“Apa yang membimbangkan daripada kajian ini adalah hampir separuh kanak-kanak di seluruh AS dengan gangguan mental tidak mendapat rawatan atau kaunseling daripada pakar,” kata penulis bersama kajian, Daniel Whitney dari Universiti Michigan.

Beliau berkata, jurang dalam rawatan boleh memburukkan keadaan dan masalah kesihatan lain.

Penyelidik menilai kelaziman diagnos dan rawatan bagi masalah kesihatan kanak-kanak berdasarkan data Tinjauan Kesihatan Kanak-Kanak Kebangsaan 2016, yang dibuat ke atas golongan di bawah usia 18 tahun. — Reuters

114 dibaca
Berita Harian X