Isnin, 11 Februari 2019 | 5:03pm
Mohammad Ali merayu bantuan kerajaannya selepas mendakwa ‘terbiar’. - Foto AFP

Rakyat Kanada bekas anggota Daesh rayu bantuan

HASAKEH, Syria: Seorang rakyat Kanada yang ditahan di Syria mendakwa ‘terbiar’ selepas menyertai kumpulan militan Daesh seperti nasib pejuang asing lain dan merayu bantuan kerajaan negaranya.

Mohammad Ali, 28, ditahan tentera Barisan Demokratik Syria (SDF) yang mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS) sembilan bulan lalu ketika cuba melarikan diri ke utara Turki bersama isteri dan dua orang anaknya.

Dia disoal siasat di pusat tahanan di timur laut bandar Hasakeh oleh dua orang anggota SDF, yang turut menawan ratusan anggota pejuang warga asing lain.

Ali yang menyertai Daesh pada 2014 di bawah pimpinan Abu Turab al-Kanadi, pernah di soal-siasat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan pegawai pertahanan AS, tetapi tidak pernah dilawati pegawai dari Kanada.

“Setiap kali saya disoal siasat atau ditemuramah, saya berharap seseorang dari kerajaan Kanada, seseorang yang dapat membantu membetulkan kedudukan dan memberi sedikit harapan.

“Malangnya, sehingga ke hari ini, tidak ada. Saya tidak mempunyai hala tuju, bagaimana mereka boleh membiarkan saya berada di sini dalam keadaan buntu,?” katanya.

Pentadbiran kerajaan Kurdis di timur laut Syria mahu menghantar tahanan kembali untuk dibicarakan tetapi pemerintah di negara asal mereka menghalang.

Kementerian Luar Negeri Kanada berkata, pihaknya sudah membuka saluran komunikasi dengan pihak berkuasa Kurdis tetapi tidak ada perjanjian untuk memulangkan tahanan.

Badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Keluarga Penentang Keganasan Ekstrim (FAVE) berkata, seramai 25 rakyat Kanada menjadi tawanan SDF. - AFP

268 dibaca
Berita Harian X