Isnin, 11 Februari 2019 | 1:38pm
Kacey Musgraves membawa pulang anugerah Album Terbaik Grammy. - Foto Reuters

Kacey Musgraves menang anugerah Album Terbaik Grammy

LOS ANGELES: Bintang muzik country, Kacey Musgraves, membawa pulang anugerah Album Terbaik Grammy, satu kejutan kepada pemuzik yang memasukkan elemen psychedelia dalam albumnya, Golden Hour.

Album ketiga pemuzik dari Nashville itu menewaskan calon lain yang tidak kurang hebat seperti bintang rap, Kendrick Lamar dan Drake.

Beliau turut mengalahkan artis wanita lain termasuk Cardi B, Janelle Monae dan Brandi Carlile untuk merangkul anugerah itu, pada tahun yang menyaksikan wanita menguasai kategori utama selepas dipinggirkan pada 2018.

“Saya sukar percaya kerana berada dalam kategori bersama-sama album hebat lain, kerja seni yang amat cemerlang,” katanya kepada penonton di Staples Center di Los Angeles.

Musgraves menang empat Grammy secara keseluruhan termasuk Persembahan Solo Country Terbaik, Lagu Country Terbaik dan Album Country Terbaik.

Beliau melonjakkan muzik country pada 2013 dengan lagu popular ‘Merry Go Round’, dengan menang Grammy bagi Lagu Country Terbaik pada 2014 dan mendapat pencalonan bagi anugerah Artis Baharu Terbaik.

Musgraves dianggap sebagai pencipta dalam dunia muzik country yang konservatif.

Majalah Rolling Stone menggambarkan beliau sebagai ‘antara simbol lantang pemuzik country muda yang menerima nilai progresif’. — AFP

134 dibaca
Berita Harian X