Isnin, 11 Februari 2019 | 9:59am
ISTERI Cornell, Vicky Cornell (tengah) bersama dua anaknya, Toni dan Christopher. - Foto Reuters

Mendiang Chris Cornell juara kategori Persembahan Rock Terbaik

LOS ANGELES: Bintang rock, Chris Cornell yang meninggal dunia pada May 2017 ketika berusia 52, menerima anugerah Persembahan Rock Terbaik pada majlis kemuncak Grammy, di sini.

Cornell dipilih menerusi persembahan ‘When Bad Does Good’ menewaskan Arctic Monkeys dan artis rock retro yang semakin meningkat naik, Greta Van Fleet.

Lagu berkenaan turut dimuatkan dalam koleksi set persembahannya yang diterbitkan tahun lalu.

“Suaranya adalah wawasan dan muzik adalah satu ketenangan buat diri beliau,” kata anak perempuan mendiang, Toni ketika menerima anugerah itu bersama-sama adik lelakinya.

Cornell ditemui mati tergantung di dalam bilik hotel di Detroit pada awal pagi 18 Mei, 2017 selepas mengadakan persembahan bersama kumpulannya, Soundgarden.

Pemeriksa perubatan mengesahkan kes terbabit sebagai kes bunuh diri.

Isteri Cornell menolak pengesahan itu dengan berkata mendiang yang sudah pulih dari ketagihan alkohol serta dadah tidak menunjukkan sebarang tanda mahu membunuh diri dan pengesahan berkenaan dibuat berdasarkan penemuan ubat penenang.

Keluarga mendiang memfailkan saman ke atas doktor di Beverly Hills susulan pertelingkahan berkenaan dan berkata, Cornell sering diberikan ubat terkawal yang mempengaruhi kewarasan berfikir beberapa tahun sebelum meninggal dunia. - AFP

164 dibaca
Berita Harian X