Isnin, 11 Februari 2019 | 8:52am
ARIANA Grande. - Foto AFP

Ariana Grande ungguli kategori Album Vokal Pop Terbaik

LOS ANGELES : Bintang pop pujaan ramai, Ariana Grande membawa pulang anugerah Grammy pertama selepas mengungguli kategori Album Vokal Pop terbaik menerusi album keempat bertajuk ‘Sweetener’ di sini semalam, menewaskan calon pilihan Taylor Swift.

Kemenangan Grande itu akhirnya dicapai selepas enam kali dicalonkan namun bintang terkenal berkenaan tidak hadir pada majlis gala terbabit.

Beberapa hari sebelum acara kemuncak Grammy, beliau menyelar penerbit acar kerana berbohong mengenai keputusannya untuk tidak membuat persembahan pada acara muzik terbesar itu.

Juara carta, Grande melancarkan album kelima, ‘Thank U, Next’ sebelum mengecam produser Ken Ehrlich selepas lelaki terbabit memberitahu media Amerika Syarikat (AS) bahawa penyanyi berusia 25 tahun itu merasakan sudah terlalu lambat untuk beliau merancang persembahannya.

“Saya tahu saya tidak berada di sana malam ini (percayalah, saya mengharapkan ia berjalan dengan baik) dan saya tahu saya ada menyebut tidak mahu terlalu memikirkan perkara ini tetapi..ia begitu indah. Saya sangat-sangat berterima kasih,” katanya menerusi Twitter.

Grande mencatatkan kejayaan cemerlang sejak setahun lalu malah Billboard menamakan beliau sebagai Wanita Tahun Ini untuk tahun 2018.

Penyanyi itu bagaimanapun terlepas peluang untuk dicalonkan menerusi kategori Album, Rekod dan Lagu Terbaik selepas lagu hit Thank U, Next terlepas tarikh akhir pencalonan.

‘Sweetener’ mencakupi kombinasi pop dan R&B bersama sedikit sentuhan hip hop serta bersesuaian dengan nada suara gemersik penyanyi itu.

Ia membabitkan penampilan khas Pharrel Williams, Nicki Minaj dan Missy Elliott serta mengungguli carta Billboard AS 200. - AFP

153 dibaca
Berita Harian X