Isnin, 11 Februari 2019 | 8:07am
JEFF Bezos. - Foto AFP

Peguam nafi majalah cuba ugut Bezos

NEW YORK: Peguam majalah National Enquirer, semalam menafikan dakwaan dilakukan Jeff Bezos bahawa tabloid itu cuba mengugut beliau, menegaskan gambar memalukan pengasas Amazon itu diperoleh daripada sumber ‘boleh dipercayai’.

“Ia jelas bukan peras ugut. Apa yang berlaku adalah cerita itu diberikan kepada National Enquirer oleh sumber boleh dipercayai yang memberikan maklumat kepada anak guam saya selama tujuh tahun sebelum kisah itu diterbitkan.

“Sumber itu dikenali rapat oleh Bezos dan Lauren Sanchez,” kata Elkan Abramowitz, kepada program ‘This Week’ terbitan ABC.

Bulan lalu, tabloid itu melaporkan Bezos, 55, menjalin hubungan sulit dengan bekas pembaca berita, menyiarkan siri mesej teks peribadi mereka.

Laporan dikeluarkan beberapa hari selepas Bezos dan isterinya, MacKenzie, mengumumkan perceraian mereka.

Apabila ditanya sama ada sumber itu ialah saudara lelaki Sanchez, Michael, seperti dilaporkan beberapa media lain,

Abramowitz enggan mengesahkan.

“Beliau seseorang yang memang dikenali Bezos dan Sanchez.

“Saya boleh beritahu ia bukan Arab Saudi, bukan Presiden Donald Trump, bukan Roger Stone.

“Saya tidak boleh beritahu siapa sebenarnya beliau,” katanya. — AFP

98 dibaca
Berita Harian X