Isnin, 11 Februari 2019 | 7:53am
RIYADH tidak tahu lokasi mayat, Jamal Khashoggi. - Foto Reuters

Arab Saudi masih buntu cari mayat wartawan

WASHINGTON: Riyadh tidak tahu lokasi mayat wartawan Jamal Khashoggi walaupun menahan sepasukan rakyatnya itu yang membunuhnya, kata pegawai kementerian luar negara itu dalam temubual yang disiarkan semalam.

Mayat Khashoggi dikerat selepas pembunuhannya pada 2 Oktober lalu di konsulat Arab Saudi di Istanbul tetapi masih belum ditemui sehingga kini.

Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir, berkata pembunuhan dilakukan pegawai negara itu ‘yang bertindak di luar bidang kuasa mereka’ dan 11 didakwa melakukan jenayah itu.

Namun apabila ditanya di mana mayat wartawan berkenaan, beliau memberitahu program ‘Face the Nation’ terbitan CBS: “Kami tidak tahu.”

Jubeir berkata, pendakwa raya yang bertanggungjawab di atas kes itu meminta bukti dari Turki tetapi tidak mendapat sebarang balasan.

Ditanya mengapa mereka yang ditahan tidak memberitahu di mana mayat itu, Jubeir menjawab: “Kami masih menyiasat.

“Ada beberapa kemungkinan dan kami bertanya apa yang mereka lakukan dengan mayat, dan saya rasa siasatan berterusan dan menjangka kami akan mengetahui kebenaran pada akhirnya.”

Jubeir ditemubual Jumaat lalu, pada hari sama Presiden Donald Trump tidak mengendahkan tarikh akhir bagi Kongres untuk melaporkan mengenai pembunuh Khashoggi, pengkritik lantang Putera Mahkota Mohammed bin Salman. — AFP

219 dibaca
Berita Harian X