Sabtu, 12 Januari 2019 | 4:44pm
PRESIDEN Donald Trump. - Foto AFP

AS tutup kerajaan catat rekod paling lama

WASHINGTON: Tindakan Amerika Syarikat menutup kerajaan menyebabkan 800,000 kakitangan kerajaan persekutuan tidak dibayar gaji, susulan keputusan Demokrat menentang cadangan Presiden Donald Trump membina tembok Mexico memasuki hari ke-22 hari, hari ini.

Parti Demokrat menolak untuk meluluskan dana sebanyak AS$5.7 bilion (RM23.34 bilion) yang dituntut Trump untuk melaksanakan projek tembok menyebabkan Washington lumpuh, dengan Trump bertindak balas menolak untuk menandatangani belanjawan jabatan kerajaan lain yang tidak mempunyai kaitan dengan pertikaian itu.

Akibatnya, kakitangan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), pengawal trafik udara dan kakitangan muzium, tidak menerima gaji semalam.

Penutupan separa kerajaan menjadi paling lama direkodkan pada tengah malam semalam, mengatasi tempoh 21 hari ketika di bawah pentadbiran Bill Clinton pada 1995-1996.

Pada Jumaat, Trump menyokong beberapa cadangan ancaman untuk menamatkan kebuntuan dengan mengisytiharkan darurat dan cuba mendapatkan dana tanpa kelulusan kongres.

“Saya tidak akan melakukannya dengan cepat,” katanya ketika mesyuarat Rumah Putih.

Trump menjelaskan pengisytiharan darurat adalah ‘jalan keluar mudah’ dan Kongres perlu memikul tanggungjawab dengan meluluskan dana AS$5.7 bilion (RM23.34 bilion) itu.

“Jika mereka tidak melakukannya, Saya akan mengisytiharkan darurat kebangsaan. Saya mempunyai hak mutlak,” katanya.

Sehingga kini, Trump sudah menyebut beberapa kali cadangan itu, kononnya beliau hampir membuat keputusan penuh kontroversi itu. - AFP

778 dibaca
Berita Harian X