Jumaat, 11 Januari 2019 | 11:15pm
Jayme Closs dikesan masih hidup. - Foto fail AFP

Remaja ditemui selepas tiga bulan ibu bapa dibunuh

CHICAGO: Remaja 13 tahun yang hilang hampir tiga bulan selepas ibu bapanya ditembak mati, ditemui dengan rambut kusam dan memakai kasut besar.

“Jayme Closs dikesan masih hidup,” kata pejabat sherif di Daerah Douglas, Wisconsin, dalam kenyataan lewat semalam.

Kenyataan menyatakan remaja itu dikesan di bandar Gordon, berhampiran Tasik Superior dan di timur laut Minneapolis.

Suspek kini dalam tahanan.

Daerah Douglas terletak di utara Barron, lokasi Closs tinggal.

Jabatan sherif di Barron akan mengeluarkan lebih banyak butiran hari ini selepas menyifatkan siasatan amat ‘lancar’ susulan penangkapan suspek.

Akhbar The Star Tribune di Minneapolis melaporkan dalam laman webnya seorang jiran yang membawa anjingnya bersiar-siar mengetuk pintu rumah Kristin dan Peter Kasinskas di timur Gordon.

Bersama-sama beliau ialah gadis yang ketakutan dengan rambut kusam dan kasut yang terlalu besar.

Dalam temubual telefon dengan akhbar itu, jiran berkenaan memberitahu Closs ‘datang dan berkata dia perlukan bantuan’.

Laporan akhbar itu menyebut ibu saudara Closs, Sue Allard, menangis sebaik mendengar berita remaja itu sudah ditemui. — AFP

4044 dibaca
Berita Harian X