Isnin, 7 Januari 2019 | 9:55am
Trump bercakap kepada media di Rumah Putih, sekembalinya dari Camp David, semalam. -Foto EPA

Trump enggan berganjak, tawar penghadang keluli sebagai kompromi

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam berikrar untuk tidak berganjak daripada tuntutannya membina tembok di sepanjang sempadan selatan dengan Mexico namun berkata, penghadang itu mungkin diperbuat daripada keluli berbanding konkrit sebagai kompromi dengan Demokrat yang enggan membiayainya.

Ulasan Trump dibuat pada awal tiga minggu penutupan separa kerajaan susulan pertelingkahan yang menyaksikan ratusan ribu kakitangan persekutuan tiada kerja dan gaji.

Presiden AS itu sekali lagi membuat ugutan, tanpa menyatakan secara jelas dari mana pembiayaan diperoleh, untuk mengisytiharkan satu kecemasan negara sebagai cara alternatif membina tembok terbabit, bergantung kepada hasil rundingan beberapa hari lagi.

Demokrat enggan meluluskan pembiayaan berjumlah AS$5.6 bilion (RM23.09 bilion) diminta Trump untuk memenuhi janji kempen 2016 dalam usaha mengekang pendatang haram.

Diketuai Speaker baharu Nancy Pelosi, Demokrat meluluskan satu rang undang-undang dalam Dewan Perwakilan minggu lalu untuk membuka semula kerajaan tanpa pembiayaan tembok. Pelosi menggelar pembinaan tembok sempadan itu perbuatan tidak bermoral.


Pelosi menggelar pembinaan tembok sempadan seperti dijanjikan Trump perbuatan tidak bermoral. -Foto Reuters

“Ini adalah satu pertempuran amat penting untuk menang dari sudut keselamatan, nombor satu dan memperincikan negara kita dan siapa kita.

“Penghadang atau tembok, boleh dibina daripada keluli berbanding konkrit, jika ia dapat membantu rakyat. Ia mungkin lebih baik,” kata Trump kepada media di Rumah Putih sebelum berlepas untuk lawatan singkat ke Camp David.

Rumah Putih menyifatkan tawaran itu sebagai tanda perdamaian.

Pemangku ketua turus kakitangan Trump, Mick Mulvaney memberitahu rancangan ‘Meet the Press’ NBC, memberi persetujuan penghadang keluli itu membolehkan Demokrat kekal dengan keengganan mereka membiayai tembok.

“Ia membolehkan kita bergerak ke hala tuju yang betul,” katanya.

Pemimpin Majoriti Dewan, Steny Hoyer tidak menyatakan persetujuan apabila ditanya jika tawaran Rumah Putih beralih daripada struktur konkrit adalah bukti kompromi.

“Ia akan dibincangkan,” katanya di NBC.

Naib Presiden Mike Pence mengetuai rundingan pusingan kedua dengan pembantu kongres semalam berhubung isu itu, namun Trump berkata, beliau tidak menjangka perbincangan terbabit menghasilkan keputusan, sebaliknya mengakui dirinya, Pelosi dan pemimpin Senat Demokrat, Chuck Schumer, adalah individu yang mampu menyelesaikannya dengan pantas. -Reuters

513 dibaca
Berita Harian X