Sabtu, 5 Januari 2019 | 7:25am
PRESIDEN Donald Trump. - Foto AFP

Trump sedia kuasa veto untuk bina tembok

WASHINGTON: Presiden Donald Trump, berkata beliau akan menggunakan kuasa yang dimilikinya untuk membina tembok di sempadan Amerika Syarikat dan Mexico tanpa kelulusan Kongres.

Perbalahan antara Trump dan Kongres yang dikuasai parti Demokrat mengenai dana bagi membiayai projek berkenaan menjejaskan pentadbiran kerajaan dan ia sudah berlarutan selama dua minggu.

Trump berkata, beliau tidak akan meluluskan bajet untuk kerajaan sehinggalah dana bagi membiayai pembinaan tembok itu diperolehnya.

“Ya, saya sudah mengkajinya. Kita boleh lakukannya. Memang kita tidak pernah lakukan sebelum ini, jadi mungkin saya akan lakukannya,” kata Trump ketika ditanya sama ada beliau akan menggunakan kuasa veto yang dimilikinya untuk membina tembok itu, pada taklimat media di Rumah Putih, semalam.

Pada masa sama, Presiden Amerika Syarikat itu menyatakan kesediaannya untuk berdepan dengan penutupan operasi pentadbiran negara itu, termasuk selama berbulan-bulan atau lebih setahun, bagi memaksa Kongres menyediakan peruntukan berbilion dolar untuk membina tembok terbabit.

“Kita bercakap mengenai keselamatan negara. Ia bukan sesuatu yang boleh dipermainkan.

“Kawasan sempadan di selatan kini berada dalam keadaan bahaya, satu bencana. Kita perlu membina tembok,” katanya selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin parti Demokrat selepas penutupan operasi kira-kira 25 peratus pentadbiran kerajaan. - Reuters/AFP

942 dibaca
Berita Harian X