Khamis, 3 Januari 2019 | 8:28am
PRESIDEN Donald Trump. - Foto Reuters

Penutupan pentadbiran AS mungkin berlarutan - Trump

WASHINGTON: Masih tiada tanda-tanda bahawa penutupan separa pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat (AS) akan berakhir walau selepas pertemuan Presiden Donald Trump dengan pemimpin kongres semalam.

Masuk hari ke-12 penutupan pentadbiran AS semalam menyaksikan Trump masih berkeras dengan tuntutan dana AS$5 bilion (RM20.9 bilion) bagi membiayai pembinaan tembok di sempadan Mexico.

Pemimpin kongres dijangka kembali ke Rumah Putih esok untuk menyambung rundingan, sekali gus memberi gambaran bahawa penutupan bakal berlarutan sehingga ke hujung minggu ini.

Sebelum bertemu dengan pemimpin kongres, Trump berkata penutupan itu akan berlarutan ‘selagi perlu’ ketika menuntut dana pembinaan tembok yang ditentang Demokrat.

“Ia mungkin berlarutan untuk jangka masa yang lama atau mungkin juga cepat,” kata Trump kepada pemberita semasa mesyuarat Kabinet semalam.

Permintaan Trump untuk membiayai pembinaan tembok di sepanjang sempadan A.S-Mexico mencetus penutupan pentadbiran AS yang menjejaskan kira-kira satu perempat daripada kerajaan persekutuan dan 800,000 kakitangan persekutuan. - Reuters

1551 dibaca
Berita Harian X