Rabu, 14 November 2018 | 5:21pm
KEADAAN bangunan yang musnah dalam kebakaran di bandar Paradise, California. - Foto Reuters

Angka kematian kebakaran di California cecah 50 orang

PARADISE: Ribuan anggota bomba dan penyelamat bertungkus-lumus memadam serta mengawal kebakaran di utara dan selatan California, yang setakat ini sudah meragut nyawa sekurang-kurangnya 50 mangsa.

Operasi mengesan mangsa yang terkorban turut dipertingkat di kediaman dan kereta yang musnah dalam kebakaran, yang disifatkan sebagai paling dahsyat dalam sejarah Amerika Syarikat.

Jumlah mangsa yang hilang juga mencecah ratusan orang dan ia dijangka terus meningkat.

Sebahagian mangsa yang terkorban akibat ‘Camp Fire’ ditemui di sekitar bandar Paradise, yang mempunyai penduduk kira-kira 26,000 orang.

Ia terletak di kaki bukit pergunungan Sierra Nevada, iaitu kira-kira 130 kilometer di utara Sacramento.

“Hari ini, kami berjaya menemui enam lagi mayat, menjadikan keseluruhan mangsa yang terbunuh kepada 48.

“Kesemuanya ditemui di dalam rumah di Paradise,” kata Sheriff Kory Honea pada sidang media.

Sementara itu, dua lagi mangsa dilaporkan maut akibat ‘Woolsey Fire’ di utara Los Angeles. - AFP

510 dibaca
Berita Harian X