Isnin, 8 Oktober 2018 | 7:32am
ANTARA mangsa yang terbunuh dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Tegucigalpa. - Foto AFP

12 maut banjir, tanah runtuh di Amerika Tengah

TEGUCIGALPA: Seramai 12 mangsa terbunuh dalam kejadian banjir dan tanah runtuh selepas hujan lebat yang melanda Amerika Tengah, sejak beberapa hari lalu.

Menurut pihak berkuasa kecemasan dan penyelamat, hujan lebat yang melanda Guatemala hingga ke Costa Rica, sejak Khamis lalu turut mengakibatkan tanah runtuh di Honduras.

Kejadian tanah runtuh berkenaan menyebabkan seorang wanita dan dua anaknya terkorban, apabila peristiwa malang itu berlaku sedang tidur.

Hujan lebat turut memusnahkan kediaman dan kawasan tanaman, serta memaksa ribuan penduduk meninggalkan rumah mereka untuk berlindung di pusat penempatan sementara.

“Enam maut di Honduras, manakala 7,000 lagi sudah diarahkan berpindah dari kediaman mereka,” kata pihak berkuasa.

Sementara itu, di Nicaragua, jurucakap kerajaan berkata, hujan lebat dan tanah runtuh menjejaskan 23,000 penduduk, manakala seorang nelayan maut apabila bot dinaikinya terbalik.

Dua lagi mangsa terkorban selepas lemas di dalam sungai.

Ketua agensi pertahanan awam El Salvador pula mengesahkan dua penduduk terbunuh, selepas kereta yang dipandu dihempap sebatang pokok, manakala 10 lagi cedera apabila ditimpa dinding yang runtuh.

Seorang lagi mangsa disahkan maut di Costa Rica dan di Guatemala, seorang kanak-kanak dilaporkan hilang. - Reuters

Berita Harian X