Rabu, 22 Ogos 2018 | 10:48pm
MICHAEL Cohen. - Foto REUTERS

Bekas peguam tidak mahu pengampunan Trump

WASHINGTON: Bekas peguam Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Michael Cohen berkata, beliau tidak akan menerima pengampunan Presiden, kata peguam beliau, hari ini, sehari selepas Cohen mengaku bersalah terhadap lapan tuduhan jenayah dan berkata, beliau bertindak atas arahan Trump.

Dalam temu bual di televisyen, peguam Cohen, Lanny Davis berkata, peguam Trump sejak sekian lama itu tidak mahu menjadi sebahagian daripada apa yang disifatkan beliau sebagai salah guna kuasa Presiden untuk mengukuhkan kedudukan.

Cohen turut mempersoalkan kesetiaan Trump kepada AS dan berpendapat beliau tidak layak memegang jawatan Presiden, kata Davis lagi.

“Beliau tidak akan dan tidak mahu apa-apa daripada Donald Trump,” kata Davis kepada MSNBC.

Dalam akuan dramatik, semalam, Cohen memaklumkan kepada mahkamah persekutuan di Manhattan bahawa Trump mengarahkan beliau melakukan bayaran, sebelum pilihan raya Presiden 2016 supaya dua wanita yang mendakwa mempunyai hubungan dengan beliau supaya berdiam diri.

Beliau mengaku bersalah atas beberapa tuduhan mengelak cukai, penipuan bank dan melanggar beberapa peraturan dana kempen pilihan raya. - Reuters

Berita Harian X