Khamis, 1 March 2018 | 8:27am
GAMBAR fail, bekas Presiden Honduras, Porfirio Lobo ketika mengangkat sumpah sebagai presiden di samping isterinya, Rosa Elena Bonilla de Lobo, di Stadium Nasional Tiburcio Carias Andino di Tegucigalpa, Honduras, pada 27 Januari 2010. - Foto REUTERS

Bekas wanita pertama Honduras ditahan

TEGUCIGALPA: Bekas wanita pertama Honduras, Rosa Elena Bonilla de Lobo, isteri kepada bekas Presiden, Porfirio Lobo yang berkhidmat dari 2010 hingga 2014, ditahan semalam atas tuduhan menggelapkan jutaan dollar dana awam, kata pihak berkuasa.

Jurucakap Mahkamah Agung Honduras, Melvin Duarter berkata, wanita berusia 51 tahun itu ditahan di rumah pasangan berkenaan di timur ibu kota ini.

Duarte berkata, Bonilla dikaitkan dalam siasatan menunjukkan sejumlah AS$500,000 (RM1.96 juta) didakwa disalurkan ke dalam akaun peribadinya enam hari sebelum suaminya meletak jawatan sebagai presiden pada 27 Januari 2014.

Ketua badan antirasuah, MACCIH ditubuhkan di bawah Pertubuhan Negara Amerika (OAS), Ana Maria Calderon memberitahu sidang media, pejabat bekas wanita pertama itu disyaki menggelapkan sejumlah AS$4 juta (RM15.67 juta) antara 2011 dan 2014.

Calderon berkata, sejumlah AS$170,000 (RM665,961.53) adalah sumbangan daripada Taiwan.

Tambahnya, sekurang-kurangnya sembilan kakitangan yang bekerja untuk Bonilla dianggap terbabit dalam dakwaan penyelewengan itu. Dakwaan ke atasnya termasuk menggelapkan dana awam, pengubahan wang haram dan kaitan jenayah.

Menurut Majlis Antirasuah Kebangsaan, akaun bank rasmi Bonilla turut menerima sejumlah AS$638,000 (RM2.5 juta) daripada agensi negeri untuk kanak-kanak.

Duarte berkata, Bonilla akan dihadapkan di mahkamah jenayah menguruskan kes rasuah yang akan memutuskan jika wanita itu dipenjarakan atau tidak. -AFP

16 dibaca
Berita Harian X